Friday, October 10, 2014

Punca Sebenar di Sebalik Saman Waris AR Tompel Berhubung Telefilem 'Saloma'

KUALA LUMPUR: Waris-waris Allahyarham AR Tompel yang terdiri daripada isteri, anak-anak serta cucu mengemukakan tiga tuntutan berhubung penyiaran telefilem biopic Saloma.

Peguam, Khairul Azam Abd Aziz yang mewakili ahli keluarga berkata, tiga tuntutan tersebut adalah penayangan telefilem berkenaan dihentikan serta-merta.

Tuntuan kedua ialah membuat pemohonan maaf secara terbuka kepada keluarga AR Tompel serta mahukan rundingan diadakan di antara keluarga AR Tompel dan pihak yang terlibat dengan telefilem Saloma.

“Tuntutan ini dibuat kerana ia melibatkan emosi dan maruah keluarga yang berasa tersinggung dengan watak AR Tompel yang ditampilkan dalam telefilem tersebut yang telah menjejaskan imej arwah serta tidak dirujuk dari sumber yang tepat” jelas Khairul di sidang media yang diadakan pada Khamis di bangunan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS) bersama waris-waris AR Tompel.

Kata Khairul lagi, notis tuntutan telah dikeluarkan pada 26 September lalu dan ianya telah diterima pihak Astro.

Sidang media tersebut dihadiri oleh 11 orang anak AR Tompel antaranya adalah AR Badul, Amran Tompel, Azman Tompel , Adlin Aman Ramlie serta bekas isteri Allahyarham, Ruminah Sidek.
Allahyarham mempunyai 18 orang anak dan dua daripadanya telah meninggal dunia termasuk Armali Arman Tompel iaitu anak hasil perkahwinan Tompel dengan Saloma.

Selain tiga tuntutan, waris Allahyarham juga tidak berpuas hati dengan 29 perkara di dalam beberapa adegan telefilem Saloma.

Kata Adlin, 90 peratus dari segi watak penceritaan adalah tidak benar dan interpretasi yang salah.

“Salah satu perkara adalah ketika adegan Saloma keluar rumah sewa dengan sarat mengandung kemudian terlihat Tompel sedang bersama perempuan lain, dan switch to babak Saloma makan nenas mahu mengugurkan kandungan.

"Babak tersebut menunjukkan pengarah dan penulis mahu Tompel dilihat kejam dan Saloma dilihat seakan tersangat benci kepada Tompel,” kata Adlin.

Selain itu, abang kepada Adlin, Amran berkata, penayangan telefilem tersebut menyebabkan dirinya dihujani banyak persoalan.

“Semasa itu saya belum lagi sempat menonton telefilem ini, tapi bila saya ke surau dan ke pasar orang mula bertanya dan memberi komen ‘Betulkah Tompel begitu?’... ‘Kasihan Saloma Tompel buat macam tu'.

"Komen tersebut menyebabkan saya menonton telefilem itu dan saya berasa sedih apabila bapa saya digambarkan begitu," katanya.

Sementara itu, pihak Astro mengesahkan telah menerima notis daripada waris AR Tompel yang menggesa telefilem Saloma yang sedang bersiaran di Astro First, dihentikan.

Naib Presiden Bahagian Perniagaan Melayu Astro, Khairul Anwar Salleh memberitahu pihak Astro kini sedang meneliti notis yang dihantar waris Allahyarham.

Saloma membariskan pelakon terkenal termasuk Nabila Huda, Tony Eusoff, Azhan Rani, Sazzy Falak dan Sharifah Amani.

0 comments:

Post a Comment