AMPANG: Vokalis Wings, Awie, hanya akan memberi penjelasan andai ada pihak lain dapat membuktikan kaitan dirinya dengan laporan artis rock memukul isteri di hadapan sebuah bank, baru-baru ini.
Awie atau nama sebenarnya Ahmad Azhar Othman, 46, menganggap perkara berkenaan sebagai tuduhan kerana orang menuding kepadanya sedangkan berita itu tidak menyebut siapa artis dimaksudkan.
“Saya tidak mahu komen apa-apa. Kalau betul berlaku pada diri saya, biarkanlah, kecuali ada pihak lain buktikan. Adakah ia datang daripada pihak terdekat atau orang luar? Tetapi andai tidak (benar), ini tetap membabitkan rumah tangga saya. Saya boleh selesaikan sendiri hal peribadi saya.
“Saya tidak boleh mendedahkan soal rumah tangga. Jika ada (bukti) saya sedia dedahkan segala-galanya, namun bukan bermakna saya mengiya atau menafikan.
“Buat apa saya mahu mengaku kerana dalam Malaysia ini, bukan saya seorang saja penyanyi rock. Saya anggap cerita ini sebagai tuduhan atau lebih tepat fitnah kerana cuba mengaibkan diri saya,” katanya ketika ditemui pada majlis pelantikan dirinya sebagai duta air minuman tenaga, di sini semalam.
Pada Sabtu lalu, akhbar BH melaporkan seorang penyanyi rock popular memukul isterinya di khalayak ramai di sebuah bank, dekat sini, malah sebelum itu wanita berkenaan lebih dulu ditampar namun hanya menjalani rawatan beberapa hari kemudian.
Ditanya hubungannya dengan isteri yang dikahwini sejak 20 Jun 2005, Rozana Misbun, 35, akuinya, rumah tangga mereka seperti pasangan lain yang sentiasa berdepan pasang surut, namun beliau enggan bercerita lanjut kerana berasakan ia hak peribadi.
“Rumah tangga saya biasa saja, sama macam orang lain. Lagikan lidah boleh tergigit, inikan pula suami isteri. Memang kadang kala bermasalah tetapi biarlah hal dalaman itu saya simpan sendiri,” kata bapa kepada lima cahaya mata daripada dua perkahwinan itu.
Menerusi perkahwinan pertama bersama penyanyi, Arni Nazira Anuar, yang bertahan selama lapan tahun, mereka dikurniakan dua cahaya mata yang kini berusia belasan tahun manakala dengan Rozana, pasangan itu memperoleh tiga anak.
Friday, June 27, 2014
- In: Info Artis
- Posted By: Anonymous
- Comments: No comments
0 comments:
Post a Comment