Friday, May 16, 2014

Imbasan Maut : 3 termasuk kanak-kanak maut kemalangan

JOHOR BAHRU - Seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun maut bersama ibu dan ibu saudaranya dalam kemalangan di KM70, Jalan Kota Tinggi-Kluang di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Abdul Majid Mohd. Ali berkata, Sharmila Jumadi, 2, ibunya Marlisa Mansor, 25, serta ibu saudaranya, Maryana Mansor, 22, meninggal dunia di tempat kejadian manakala kakaknya Sofea Balqis Jumadi, 4, cedera parah.

"Kemalangan berlaku berhampiran Ladang Tabung Haji pada kira-kira pukul 10.15 pagi tadi apabila kereta Perodua Kancil yang dipandu Marlisa dari arah bandar Kluang menuju ke arah Bandar Tenggara cuba memotong sebuah kereta Toyota Hilux di depannya.

"Dipercayai pemandunya gagal memotong kenderaan terbabit lalu berlanggar dengan sebuah lori yang datang dari arah bertentangan sebelum Perodua Kancil itu berpusing dan kemudiannya dilanggar oleh Toyota Hilux yang tidak sempat mengelak," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Abdul Majid berkata, pemandu lori yang berumur 29 tahun dan pemandu Toyota Hilux yang berumur 40 tahun itu bagaimanapun tidak mengalami kecederaan.

Beliau berkata, kes kemalangan maut itu disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Kluang untuk bedah siasat manakala Sofea Balqis dihantar ke Hospital Sultanah Aminah (HSA)di sini untuk rawatan. - BERNAMA

0 comments:

Post a Comment